Saturday, April 19, 2014

RADIO AMATUR DI MALAYSIA

Pendangan 9W2FG - Ashwar Aziz

Suatu ketika dahulu, penggemar radio amatur bersusah payah mengambil lesen radio amatur untuk mendalami ilmu radio amatur untuk penyelidikan, buat antenna, power supply, radio kecemasan dan dxing. Sayang sekali, radio amatur kini adalah tidak lebih sebagai komunikasi sekunder kepada telefon selular. Lesen dan kelebihan radio amatur juga hanya digunakan untuk hobi primer seperti konvoi kelab kelab kereta, rekreasi dan lain lain.

Dahulu, Ramai yang memasuki kelab dan persatuan radio amatur untuk aktif di dalam bidang-bidang radio amatur selain daripada bertukar-tukar ilmu radio amatur semasa eyeball. Sekarang, komitmen berpersatuan adalah tidak lebih daripada berpersatuan secara virtual dan online melalui media dan jaringan sosial. Perjumpaan dan aktiviti kelab tidak lagi mendapat penyertaan yang ramai apatah lagi jika kelab membuat mesyuarat agung tahunan. Aktiviti seperti ini tidak dianggap penting dan hanya membuang masa untuk pergi meredah kesesakan di jalan raya.

Dahulu, 9w akan 'mencari' old timers dan 9m untuk mendapatkan ilmu atau pengalaman orang lama, tidak kira jauh, malam atau siang. Sekarang, ramai yg memilih untuk menunggu dan mengharapkan ilmu datang menyembah bumi setelah post mesej 'kontek perdana' di FB, blog atau group Whatsapp.

Perbualan di repeater-repeater semakin rancak ala tele-conferencing dan corak bahasa negara jiran, amat kurang tatacara dan linggo radio ham yang sebenar digunakan. Pada suatu ketika dahulu, tidak kira persatuan atau kelab, kita merasa senang untuk QSO di mana-mana repeater sekali pun. Sekarang, repeater dan frekuensi adalah seperti hak mutlak dan pegangan kekal milik kelab hingga terasa cuak untuk bergabung di jaluran.

Di peringkat persatuan dan kelab pulak, disebabkan oleh seorang-dua yang fanatik kepada kelab, menyebabkan radio amatur berpuak-puak mengikut kelab. Secara individu jika berjumpa, sesama kita tiada masalah untuk berjabat tangan minum teh semeja tetapi apabila berpesatuan, sahutan untuk join venture buat aktiviti bersama atau bergabung dilihat lebih kepada negatif daripada kebaikan sedangkan setiap persatuan mempunyai statement "Kita x dak masalah untuk bekerjasama... Cumanya mereka yg tak nak..!"

Maaf, jika penelitian ini mengganggu gugat perasaan, tetapi inilah hakikat radio ham di Malaysia sekarang.

Persoalannya sekarang... Mahukah kita semua melihat ini berterusan? Mahukah kita berpeluk tubuh dan hanya petingkan diri sendiri? Mahukah kita lihat dunia radio amatur di Malaysia hanya hebat di facebook, whatsapp, blog dan internet?

Saya berpendapat dan berharap agar tuan-tuan dan puan-puan, terutama radio ham yang baru untuk sama-sama kembalikan kegemilangan radio ham Malaysia.

Ahli-ahli persatuan atau kelab eloklah hadir di dalam aktiviti anjuran kelab masing-masing. Sebulan sekali pon cukuplah. Tidak guna untuk masuk kelab atau persatuan hanya untuk hak menggunakan repeater atau sekadar nak dapat sticker kelab.

Selalu-selalulah libatkan diri dengan aktiviti seperti dxing, home brew antenna, aprs, emcomm dan banyak lagi melalui kelab atau group group radio ham di Malaysia. Banyak lagi faedah radio amatur selain dari bercakap dengan rakan-rakan secara percuma.

Interaksi antara radio ham dan antara kelab dengan kelab perlu diperbanyakkan kerana hanya dengan bersemuka minum teh sama-sama, kita dapat mengetahui sejarah, bertukar maklumat dan pandangan mengenai hal ehwal semasa radio amatur. Isu-isu dapat diselesaikan jika kita mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak daripada hanya mendengar dari suatu pihak sahaja. Rumusan dapat dibuat dengan lebih bernas dan positif.

Mari kita sama-sama kembalikan kegemilangan dunia radio amatur Malaysia dan sama-sama tentukan kesinambungan dan relevan radio amatur Malaysia di masa hadapan.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment