Wednesday, April 23, 2014

PERUBATAN ISLAM

Perubatan melalui Al Quran

Al-Quran adalah setinggi-tinggi martabat penawar dan kesembuhan. Setiap huruf yang terkandung di dalamnya adalah penawar untuk penyakit rohani dan fizikal. Tiap-tiap surah dan ayat dalam Al-Quran adalah penawar kepada sesuatu penyakit, dengan syarat seseorang itu beriman dan yakin kepadanya. Perubatan dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai penawar ini sangat masyhur semasa zaman kegemilangan Islam. Tetapi setelah sekian lama, ramai dikalangan umat Islam kurang yakin akan hikmah dan mukjizat Al-Quran sebagai penawar kepada segala penyakit. Saya sangat berharap agar kita dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan perubatan melalui Al-Quran seperti semasa zaman permulaan Islam dahulu.

AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR

Di dalam surah Al-Israa’ ayat 82, Allah (s.w.t) berfirman:
“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.”

Dan di dalam surah Fussilat ayat 44,  Allah (s.w.t) berfirman:
“Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”.

Ini jelas terbukti bahawa semua penyakit yang datang dari Allah (s.w.t), penawarnya ada di dalam Al-Quran, terpulanglah kepada individu untuk mencari dan mengamal ayat-ayat tersebut dan yakin sepenuhnya akan mukjizat Al-Quran.

CONTOH SURAH DAN AYAT PENAWAR

Semua penyakit yang Allah jadikan di dunia ini ada penawarnya di dalam Al-Quran. Sebagai contohnya.

  • Surah Qaaf ayat 16 hingga 45, Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61 selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi, tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)
  • Surah Al-Buruuj ayat 1 higga 22 selalunya di baca untuk penawar sakit-sakit yang berkaitan dengan perut (seperti gastric, stomach ulcer) atau penyakit yang berkaitan dengan usus besar atau usus kecil.
  • Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 untuk pesakit yang mengalami sakit jantung, saluran darah tersumbat (blockage) dan jantung berlubang.
  • Ayat-ayat dalam surah Al-Anfaal untuk sakit jangkitan kuman/virus atau "infections". Ayat ayat dari surah Al-Anfaal ini berfungsi sama seperti ubat-ubat antibiotik.
  • Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47, ayat 66 hingga 74 dan ayat 81 hingga 89 untuk memberi kekuatan atau tenaga kepada pesakit. Kekuatan dari segi fizikal dan kekuatan dari segi dalaman atau rohani. Ayat-ayat ini berfungsi untuk meningkatkan kekuatan fizikal atau immuniti (sistem daya pertahanan sesaorang) dan juga untuk peningkatan kekuatan rohaniah dari segi semangat dan keazaman pesakit.
  • Ayat-ayat dari surah Al-Anbiyaa', surah Al-Qasas, surah Huud dan surah Kahfi khusus untuk penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hyper-tension), sakit angin ahmar (stroke) dan lain-lain lagi.
  • Ayat-ayat dari surah Yusuf dan surah An-Nahli untuk penyakit lemah tenaga batin untuk kaum lelaki.
  • Ayat-ayat dalam surah Maryam, Anbiyaa' dan Imran untuk sakit fibroid, ovarian cysts dan lain-lain sakit perempuan.
  • Ayat-ayat dari surah Mukminun, Yunus, Hud, Anbiyaa, Ma'idah, Al-A'raff, Ash-Syura, Al-Qasas dan lain-lain surah untuk pelbagai jenis penyakit kanser, sakit buah pinggang (kidney failure), hepatitis dan lain lain penyakit.
  • Ayat-ayat dari surah Al-Baqarah, Fussilat, Ash-Syu'aara, Al-Furqaan, Ar-Ra'd, Toha, Al-Mu'minum, Muhammad, dan lain-lain surah untuk penyakit gangguan sihir, santau, rasuk jin atau iblis, ilmu pangasih, ilmu pelalau, ilmu pemisah dan lain-lain penyakit gangguan atau "spiritual illness".

Selain dari penyakit yang disebut di atas, saya dapati penyakit seperti SLE, sejenis penyakit buah pinggang (nephronic syndrome), penyakit kulit (psiorasis), sakit sawan (epilepsi) dan sakit tekanan jiwa (depression) boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

Di kalangan anak-anak, penyakit yang selalu saya ubati termasuklah anak-anak yang mengalami penyakit Down-Syndrome, penyakit "learning disability", penyakit "dyslexic" dan penyakit kronik yang lain.

Cara perubatan

Perubatan Al-Hidayah ini tidak menggunakan khidmat makhluk halus (samada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan. Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:
  1. Amalan Bacaan Al-Quran,
  2. Berdoa memohon kepada Allah (s.w.t)
  3. Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)
Selain dari 3 amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral dan madu asli. Madu asli adalah digunakan untuk mengubati penyakit yang ada kaitan dengan paru-paru (seperti sakit lelah), perut (sakit ulcer, gastric, dll), usus, sakit sendi, lemah tenaga batin dan pasangan yang sukar mendapat anak. Setiap pesakit dinasihatkan berwuduk sebelum rawatan dan kaum muslimat dikehendaki menutup aurat dengan memakai pakaian solat (telekong) semasa rawatan.

Kadang-kadang saya perlu menyentuh pesakit ketika merawat dan tempat yang selalu disentuh adalah di tulang belakang (spinal cord) atau di kepala pesakit. Sebab itu kaum muslimat di mestikan memakai pakaian solat ketika berubat. Untuk kaum muslimat selalunya sentuhan dilakukan secara batin and bukan secara fizikal.

Diagnosis dan scanning unuk mengenalpasti penyakit

Mengikut prosedur perubatan yang saya amalkan, pesakit perlu berjumpa dengan saya dahulu, dan saya akan membuat diagnosis (kenal pasti) penyakit yang dialami oleh pesakit. Diagnosis (kenal pasti) penyakit adalah dengan kaedah “scanning”. Keupayaan “scanning” ini adalah suatu keupayaan atau kebolehan yang diberi oleh Allah (S.W.T). Berdasarkan penyakit yang dikenal pasti, dengan izin dan hidayah Allah (S.W.T), saya akan memberitahu pesakit itu samada sakit yang dialami itu adalah -

  1. Sakit jasmani / fizikal (sakit badan atau physical illness - sakit jantung, kanser, darah tinggi, kencing manis, dll. ) atau
  2. Sakit rohani (spiritual illness - sihir, saka, gangguan jin, santau. dll.) atau
  3. Masalah  akhlak atau perubahan sikap (behavioural or attitude problem - mencuri, melawan ibu bapa, menipu dan suka cakap bohong, ketagihan dadah, zina, berjudi, etc).

Setelah dikenal pasti akan penyakit yang dihadapi oleh pesakit itu, rawatan kemudiannya akan disusuli dengan pemberian ayat-ayat Al-Quran yang tertentu untuk sakit yang dialami. Bacaan ayat-ayat Al-Quran ini perlu disertakan dengan doa kepada Allah (SWT) dan memohon kepada-Nya agar disembuhkan penyakit itu.

Ayat al-quran sebagai pengganti ubat

Setiap ayat Al-Quran yang diberikan kepada pesakit untuk mereka amalkan diibaratkan sebagai ubat, dan air yang diminum adalah untuk menyerapkan ayat itu ke dalam badan dan jiwa pesakit itu. Sebagai perumpamaan, tatkala kita sakit demam, kita ambil pil panadol. Pil panadol tersebut adalah ubat dan air yg diminum sewaktu memakannya adalah untuk menyerapkan ubat panadol itu ke dalam badan atau darah kita agar kita beransur sihat. Sama dengan ayat Al-Quran yang dibaca, ia adalah gantian kepada ubat, dan air yang diminum adalah untuk menyerapkan ayat Al-Quran itu ke dalam badan dan jiwa kita.

Kehebatan dan mukjizat al-quran

Memang benar, perubatan sebegini kadang-kala tidak ada logiknya dan adakalanya susah untuk diterima oleh akal fikiran manusia. Apatah lagi, bila dianalisakan kaitan sesuatu surah dan ayat-ayat Al-Quran dengan sesuatu jenis penyakit. Apabila dibaca terjemahannya pula, ayat-ayat Al-Quran tersebut tiada menggambarkan kaitan secara langsung dengan penyakit yang dialami. Tapi, inilah kehebatan dan mukjizat Al-Quran!

Sebaliknya, perubatan moden adalah berasaskan kepada logik dan “reasoning”. Oleh itu,perubatan moden lebih mudah diterimapakai oleh para pesakit (seperti antibiotik dapat menandingi virus atau bakteria yang menjadi punca kepada sesuatu penyakit, atau pain-killer seperti ubat panadol atau oxycodone dapat mengurangkan kesakitan seseorang).

Sebagai contoh dalam Perubatan Al-Hidayah ini:


  • Surah Kahfi ayat 32 hingga 50 adalah digunakan sebagai ubat tahan sakit atau pain killer. Tetapi apabila kita membaca terjemahan ayat-ayat tersebut, ia langsung tidak berkaitan dengan ubat tahan sakit, ini merupakan adalah kehebatan Al Quran.
  • Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 adalah untuk penyakit yang ada kaitan dengan masalah urat saraf (nerve). Kalau dibaca terjemahan ayat-ayat tersebut tidak ada kaitan langsung dengan urat saraf.
  • Surah An-Nahli - banyak ayat-ayat dalam surah ini yang ada kaitan dengan kekuatan dalaman atau kekuatan sistem daya pertahanan diri (immune system.
  • Surah Yassin ayat 72 hingga 83 dan Surah Ar-Rahman ayat 21 hingga 60 pula merupakan  ayat penerang hati dan sesuai untuk diamalkan oleh pelajar-pelajar atau anak-anak yang bersekolah. 
  • Surah Al-Waqiah ayat 36 hingga 74 adalah untuk murah rezeki dari segi kesihatan, kesuburan, kewangan dan harta kekayaan

Penyakit kritikal (Kanser)

Ramai juga pesakit saya yang mengidap penyakit kanser yang telah sembuh (dengan keizinan dan keberkatan dari Allah (S.W.T) dengan mengamalkan ayat-ayat ini. Ada seorang pesakit yang telah disahkan mempunyai sakit fibroid dalam rahim oleh doktor perubatan dan dapat dilihat fibroidnya melalui x-ray/scan machine tetapi setelah mengamal bacaan ayat-ayat ini, fibroidnya tak ada lagi di dalam rahim dan ini disahkan oleh doktor perubatan melalui x-ray/scan. Ini bukanlah satu 'magic' tetapi ayat-ayat ini dengan sendirinya menghancurkan fibroid itu dan fibroid ini keluar melalui darah haid.

Saya percaya dan amat yakin bahawa penyakit seperti kanser boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran. Ini telah terbukti di dalam pengalaman saya setelah merawat pesakit-pesakit kanser selama lebih kurang 10 tahun, terutama sekali yang mempunyai penyakit kanser tahap 1 dan 2 (stage 1 dan stage 2). Dalam perubatan ini, saya juga menggalakkan pesakit kanser untuk berubat secara moden seperti chemotherapy atau radiotherapy, dan disamping itu juga, pesakit membaca ayat-ayat Al-Quran yang saya berikan. Saya sudah kenal pasti ayat-ayat Al-Quran khusus untuk penyakit kanser. Pesakit mesti yakin dan perlu berusaha mengamalkan ayat-ayat Al-Quran ini dan juga berdoa agar Allah rahmati dan berkati perubatan ini.

Ayat-ayat dalam surah-surah di dalam Al-Quran yang boleh menjadi penawar kepada penyakit kanser - Surah Ambiyaa, Maidah, Imran, A'raaf, Hud, Yusuf, An-Nahli, Toha, Al-Mukminum, Asy-Syauaraa, Qasas, Al-Fatah, Az-Zumar, Ghafir dan Al-Qamar. Melalui rancangan-rancangai televisyen seperti “Penawar Syifa” di saluran Astro Oasis dan “Segmen Syifa” di dalam rancangan  Nasi Lemak Kopi O di TV9, kami telah banyak memaparkan pesakit-pesakit kami yang telah sembuh dari penyakit-penyakit kanser dengan keizinan Allah (S.W.T). Di dalam rancangan-rancangan ini, mereka telah menceritakan pengalaman mereka dalam menangani penyakit kanser setelah merima rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran.

Penyakit rohani (spritual illness)

Surah dan ayat-ayat Al-Quran ini bukan sahaja dapat mengubati penyakit-penyakit fizikal (seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kidney failure, saluran darah tersumbat) malahan ianya lebih berkesan mengubati penyakit-penyakit rohani yang disebabkan oleh jin, syaitan dan iblis (seperti ilmu sihir, saka dan racun santau).

Sebagai contoh:

  • Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 25, ayat 44 hingga 55, ayat 85 hingga 95, ayat 103 hingga 203, ayat 165 hingga 186 dan ayat 244 hingga 255 adalah ayat penawar kepada sakit-sakit gangguan yang disebabkan oleh sihir manusia melalui jin, iblis dan syaitan.
  • Surah Asy Syuaraa' ayat 95 hingga 118, Surah Arrad ayat 30 hingga 34, Surah Fussilat ayat 25 hingga 44, Surah Furqaan ayat 61 hingga 77, Al-Mukminun ayat 105 hingga 118, dan ayat-ayat di dalam Surah Toha, A'raaf, Hud, Surah Al-Hasyr, Surah Al-Ghaasyiyah dan Surah Asy Syura sungguh berkesan dibaca untuk mengeluarkan jin, benda-benda halus atau racun-racun perbuatan ilmu sihir atau santau dari badan manusia.
  • Surah Muhammad ayat 21 hingga 32 dan Surah Toha ayat 120 hingga 135 adalah ayat "penyejuk" iaitu penawar kepada orang yang panas baran dan untuk mententeramkan jiwa, fikiran dan hati. Sekiranya hati rasa resah dan gelisah atau "moody" tanpa sebab, dengan mengamalkan ayat-ayat ini dapat mententeramkan jiwa dan hati

Gangguan Saka

Gangguan saka adalah gangguan jin atau benda-benda halus yang diwarisi daripada keturunan keluarga. Ramai pesakit yang mengalami gangguan saka tidak mengetahui adanya jin dalam badan mereka yang mereka warisi melalui keturunan keluarga.

Sekiranya ada ahli keluarga terdahulu seperti ayah atau emak, nenek atau datok yang menuntut ilmu-ilmu silat atau ilmu-ilmu batin yang berasaskan jin, apabila mereka meninggal dunia dan mereka tidak sempat membuang ilmu-ilmu tersebut atau memerdekakan jin-jin mereka, besar kemungkinan jin jin ini akan mendampingi waris-waris dalam keluarga tersebut. Bukan semua dalam keluarga itu akan didampingi oleh jin-jin saka ini. Selalunya anak anak lelaki dalam keluarga atau anak perempuan yang lemah semangat.

Ramai pesakit yang membawa ke klinik saya bayi-bayi yang baru lahir yang selalu menangis dan meragam, dan selalunya bayi-bayi ini diganggu oleh jin-jin saka dari keturunan mak dan ayah bayi tersebut. Selepas saya mengeluarkan jin-jin saka dari dalam bayi-bayi ini, selalunya mereka akan pulih dan akan kembali normal.

Ada beberapa kes anak-anak yang tidak mahu pergi ke sekolah tanpa sebab yang munasabah. Mereka memang tidak mahu dan takut untuk ke sekolah. Dalam kes seperti ini bebiasaannya anak-anak ini ada jin-jin saka dalam badan mereka dan jin-jin saka ini mempengaruhi minda dan hati anak-anak ini supaya tidak mahu ke sekolah. Mengapa mereka mempengaruhi anak ini adalah kerana di sekolah anak ini ada terdapat benda-benda halus di mana jin-jin dalam badan anak ini mungkin tidak selasa atau takut untuk masuk ke kawasan sekolah. Mungkin perkara yang saya nyatakan ini tidak masuk akal tetapi ia kerap kali berlaku. Setelah saya mengeluarkan jin-jin saka dari anak anak ini, mereka tidak ada masalah untuk ke sekolah selepas itu.

Penyakit gangguan makhluk halus

Penyakit-penyakit gangguan selalunya disebabkan oleh kemasukan jin, syaitan atau iblis ke dalam tubuh badan manusia. Apabila jin masuk ke dalam badan manusia, ia selalu nya berada di dalam otak dan di tulang belakang (spinal cord) berdekatan dengan urat saraf kita. Melalui otak dan urat saraf, jin akan dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit itu. Sebab itu kalau seseorang itu ada sakit ganguan sihir atau ganguan jin, fikiran dan emosi mereka akan terganggu, dan kadang-kala “anxiety level” mereka sangat tinggi. Selalunya mereka merasa sakit di bahagian pinggang, tengkuk, bahu dan sendi-sendi. Apaila fikiran mereka terganggu, ia akan mengakibatkan seseorang itu mendapat sakit tekanan jiwa atau “depression”.

Apabila seseorang itu telah dimasuki jin atau makhluk halus,jin tersebut perlu terlebih dahulu dikeluarkan atau dimusnahkan (dengan izin Allah s.w.t). Keupayaan mengeluarkan atau memusnahkan jin, makhlus halus, racun sihir dan santau ini perlu dipelajari dan ia suatu keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Apabila makhluk halus itu telah dikeluarkan atau dimusnahkan, rawatan disusuli dengan doa oleh pesakit dan amalan bacaan ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah, Surah Asy Syu'araa, Surah Arrad, Surah Toha, Surah Fussilat, dll.

Gangguan Sihir

Ada banyak jenis gangguan sihir. Sebagai contoh - ilmu hitam ialah sihir yang boleh melemahkan tenaga batin seseorang. Ramai pasangan suami isteri yang dikenakan sihir atas tujuan untuk meruntuhkan rumahtangga mereka. Ramai ahli sihir menggunakan jin untuk mengawal pemikiran dan nafsu syahwat seseorang. Di sini jin itu akan merosakkan urat saraf di tulang belakang seseorang itu untuk melemahkan tenaga batinnya dan juga untuk mempengaruhi pemikiran dan emosi suami dan isteri supaya mereka tidak sehaluan.

Santau adalah sejenis sihir yang sangat popular dalam masyarakat Melayu, India dan Cina. Terdapat bermacam jenis santau dari perbagai bahan semula jadi seperti racun santau dari racun akar-akar kayu, buluh nyilu, racun binatang seperti ular, cengkerik, lipan, dll. atau dari bahan kaca, pasir dan besi. Terkini yang saya dapati ialah santau yang diperbuat dari bangkai binatang dan tuala wanita yang telah dipakai. Perubatan mengeluarkan racun santau ini dilakukan melalui batin dan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertentu. . Santau adalah sejenis racun sihir dan boleh dimasukkan ke dalam badan sesaorang itu melalui jin atau melalui makanan.

Sihir yang sangat popular di kalangan masyarakat Melayu adalah ilmu pengasih dan ilmu pemisah. Ilmu pengasih apabila ada orang yang ingin mempengaruhi emosi dan perasaan seseorang dengan menggunakan jin dan sihir. Ilmu pemisah pula apabila ada orang ketiga yang ingin memisahkan pasangan suami isteri supaya dapat mengahwini suami atau isteri pasangan tersebut.

Keyakinan dan usaha berserta doa

Saya telah mempraktikkan Perubatan Al-Hidayah atau (Koranic Medicine) ini sudah lebih 12 tahun. Hakikatnya, dengan keizinan Allah (s.w.t) ramai dikalangan pesakit yang telah sembuh dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan. Pokoknya, kita perlu yakin sepenuhnya dengan mukjizat ayat-ayat Al-Quran ini dan berusaha untuk membaca ayat-ayat Al-Quran dan berdoa kepada Allah (s.w.t) untuk sembuh dari penyakit yang dihadapi.

RUJUKAN : Laman Web (www.alhidayah-medic.com)

Saya berharap melalui laman web ini, ilmu Allah (s.w.t) ini dapat di perkembangkan dan untuk mendakwah kepada orang ramai mengenai mukjizat Al-Quran dalam ilmu perubatan. Al-Quran ini adalah dari Allah (s.w.t) dan perubatan ini adalah dari Allah (s.w.t), jadi tidak ada rahsia didalam perubatan ini. Tujuan kami mengadakan laman web ini adalah untuk berkongsi bersama pengetahuan perubatan ini dan seterusnya untuk menyebarkan perubatan ini kepada sesiapa yang yakin akan hikmah ayat-ayat Al-Quran. Kebanyakkan ayat yang digunakan untuk perubatan ada di dalam laman web ini.  Alhamdulillah syukur kepada Allah (s.w.t) pada 22 April 2013 setelah satu tahun setengah ditubuhkan, laman web ini berjaya mencapai  lebih 1.2 Million hits.
Dengan adanya laman web ini, ia juga dapat membantu orang ramai atau pesakit-pesakit yang kurang fasih membaca ayat-ayat Al-Quran. Dalam laman web ini,  terdapat kemudahan “audio” untuk pesakit-pesakit mendengar dan menyemak semula bacaaan Al-Quran yang diamalkan. Selain dari itu, setiap ayat disertakan dengan terjemahannya supaya mudah orang ramai dan pesakit-pesakit memahami maksud ayat-ayat tersebut.

Hj. Lokman Abdul Hamid
22 April 2013

No comments:

Post a Comment