Friday, June 28, 2013

HASAD DENGKI BARAH BAGI HATI

Hasad dengki barah bagi hati

Penyakit ini seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu. Hakikatnya ia merupakan kerosakan pertama yang berlaku di atas dunia yang melibatkan pelbagai bangsa antaranya yang berlaku dalam peristiwa ketika zaman nabi Adam. Cuma mungkin ia seringkali dikaitkan dengan bangsa melayu kerana sifat ini menjadi tonggak utama meng’hidup’kan cerita seperti sejarah Hang Tuah, Hang Nadim dan sebagainya.
Pembahagian hasad
  1.  merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.
Hasad ini adalah yang paling keji dan terlarang kerana bukan sahaja seseorang manusia memiliki sifat ini berasa tidak senang dengan kelebihan orang lain ditambah pula rasa tidak bersyukur ke atas nikmat Allah yang diberi kepadanya. Orang yang mengakui beriman perlu berusaha mengikis sifat mazmumah ini kerana kebaikan tidak pernah selari denga keburukan seperti dalam sabda baginda s.a.w:
“Tidak akan berhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (HR Ibn Hibban)  
 2.  Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.
Hasad ini juga terlarang. Bezanya cuma seseorang itu bersyukur atas nikmat yang dia terima tetapi berasa iri hati jika ada insan lain yang melebihi dirinya. Namun, adalah lebih baik kita jauhi sifat ini kerana baginda s.a.w bersabda:
“Manusia ini terus berada dalam keadaan baik selagi mereka tidak berdengki-dengki” (HR At-Tabrani)
3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.
Jika pembahagian pertama dan kedua terlarang berlainan pula dengan yang ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:
“dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan”. (Al-Mutoffifin:26)
Rasulullah juga ada bersabda melalui Abdullah Ibn Mas’ud:
“tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.” (HR Bukhari)
Dalam hadis ini baginda menyebutkan dua contoh situasi.
Pertamanya berlumba-lumba dalam menyumbangkan harta. Hal ini pernah dirakam dalam kitab sirah sewaktu umat Islam di minta untuk keluar berjihad ke suatu tempat bernama Tabuk walhal tempat itu amat jauh ditambah dengan kepanasan cuaca yang menggigit. Namun, bukan kisah pengorbanan jiwa mereka yang saya ingin gambarkan tetapi kesungguhan para sahabat nabi untuk menyumbangkan harta mereka di mana Saidina Abu Bakr menyumbangkan seluruh hartanya dan diikuti oleh Umar r.a dengan separuh hartanya mereka berikan untuk kegunaan kelengkapan perang umat Islam ketika itu.
Keduanya adalah hikmah atau pengetahuan yang Allah berikan kepada orang lain melebihi dirinya. Hal ini juga menggambarkan kepada kita bahawa berlumba-lumba dalam menuntut ilmu itu dibolehkan cuma ada beberapa sisi perlu kita jaga kerana dalam menuntut ilmu ini sebenarnya ia berada di tebing keikhlasan yang perlu diperhati dengan betul. Maka tidak hairan jika golongan penuntut ilmu terlebih lagi bagi agamawan mempunyai sifat hasad yang terlarang.
Kumpulan Penghasad
  1. Hasad sesama keluarga
Perkara ini bukan perkara baru. Bahkan ia pernah terjadi sejak zaman awal kejadian manusia yang berlaku kepada anak nabi Adam iaitu antara Qabil yang hasad kepada saudaranya Habil disebabkan pasangan kahwinnya tidak secantik pasangan Habil hingga tercetus pertumpahan darah. Allah merakam kisah ini dalam Al-Quran:
“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:30)
Begitu pula halnya kisah nabi Yusuf bersama saudara-saudara yang dengki kepadanya disebabkan lebihan perhatian oleh ayah mereka nabi Yaacob ke atas Yusuf a.s. Dewasa kini, sifat ini diterjemah dalam bentuk yang sama cuma berbeza situasi dalam kehidupan manusia yang melibatkan sesama keluarga mereka terutama dalam bab pengwarisan harta hingga mengakibatkan berlaku pergaduhan dan lebih dahsyat terputus hubungan kekeluargaan.
2. Hasad sesama sendiri (bangsa)
Setakat pemerhatian saya, perkara ini sering berlaku dalam masyarakat Melayu dan mungkin jarang berlaku pada bangsa lain. Namun tidak boleh dinafikan ia masih terjadi. Sebagai contoh bangsa Melayu dengki dengan sesama bangsa sendiri dalam urusan kerjaya bisnes dan sebagainya walhal bangsa cina terus maju disebabkan sikap bekerjasama mereka. Maka, dalam hal begini kunci kejayaan itu adalah kebersamaan bukan sekadar dalam perniagaan bahkan ia membuka kejayaan dalam bidang yang lain.
3. Hasad golongan intelektual
Hasad acapkali berlaku dalam kalangan golongan terpelajar atas sebab dengki dengan pencapaian orang lain. Namun, saya mahu khususkan kepada skop agamawan dan juga parti politik. Kita lihat hari ini ramai dalam kalangan agamawan yang hasad antara satu sama lain. Sebab itu timbul fitnah-memfitnah, label-melabel berpunca daripada sifat ini. Tidak kurang ahli politik yang dengki kepada kejayaan parti yang lain hingga sanggup membuka aib lawannya di kalayak umum.
Oleh itu, golongan intelektual perlu ambil perhatian untuk lebih berhati-hati kerana sejarah telah membuktikan di mana ahli kitab tidak mengiktiraf Rasulullah walhal mereka mengetahui kebenarannya. Allah berfirman:
“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).” (Al-Baqarah:109)                                                                             

Membantu atau menjatuhkan?
Melihat kepada keburukan hasad ini sebenarnya lebih sekadar rasa tidak berpuas hati kepada orang lain dan tidak bersyukur atas nikmat ke atas diri sendiri. Ia hakikatnya membuahkan keburukan yang lain sebagaimana kisah kedua anak nabi Adam yang bermula dengan hasad dan akhirnya berlaku pertumpahan darah. Begitulah liciknya permainan syaitan dan seangkatannya dalam menjerta manusia kedalam kefasadan.
Dari sudut lain, kekadang ada orang beranggapan bahawa menghalang seseorang berbuat kebaikan atas alasan kurang kemampuan itu sebagai bantuan kepada si pendengar nasihat. Namun, saya lebih melihat ia menjatuhkan kemampuan seseorang itu kerana dalam hal kebaikan kebiasaanya manusia mampu untuk melakukannya mengikut taraf kebaikan yang ingin dilakukan. Adapun jika ia jelas seperti seorang yang fakir untuk bersedekahkan hartanya tetapi tidak mempunyai wang itu adalah terkecuali.
Oleh yang demikian, jika terdetik dalam diri anda untuk melakukan kebaikan terutama dalam bab untuk berubah kepada yang lebih baik, maka jangan ditangguhkan niat baik tersebut hanya dengan sebab ada orang lain berkata itu dan ini. Terus lakukan perubahan dan cuba kekalkan momentum tersebut. Begitulah juga dengan kebaikan-kebaikan yang lain.
Merawat hasad
Merawat barah ini perlu dalam dua keadaan kerana ada hasad yang datang dari dalam diri manusia sendiri dan ada juga hasad manusia lain terhadap diri kita. Apapun, yang terutamanya adalah hubungan kita dengan Allah. Bagaimana kita berserah kepada ketentuan Allah juga rasa syukur kita kepada-Nya atas nikmat yang dikurnia.
Adapun cara yang lain adalah kita menghapus rasa hasad kita adalah memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang berhasad dengan kita, dan jika datang dari diri sendiri perlu ketahui bahawa hasad tidak membuahkan sebarang natijah bahkan nikmat orang yang kita hasad tidak berkurangan.
Kesimpulan
Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:
ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم
Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Wednesday, June 26, 2013

KHAS UNTUK AHLI GABUNGAN MARL

Bayaran Pendaftaran KRAM 2013 di bawah / melalui semua persatuan-persatuan ahli Gabungan MARL adalah RM 50.00 per pax. Pendaftaran dan bayaran hendaklah dibuat pada / sebelum 5/7/2013. Pendaftaran dan bayaran selepas tarikh tersebut adalah tertakluk kepada "Walkin rate" iaitu RM 75.00. Sebarang pertanyaan, sila hubungi 9W2HOZ, 9M2SQL, 9M2BAL dan 9W2FG.

JASRA SAHUR 2M NET

ACARA 2M Net pada setiap HARI RABU adalah dengan ini DI TANGGUHKAN berkuatkuasa sertamerta sehingga AIDIL FITRI, bagi memberi laluan kepada SAHUR 2M NET. Sesiapa yang ingin menjadi Net Controller, sila hubungi 9W2BLM / 9W2BPQ / 9W2MBJ. HADIAH2 / DUIT RAYA dan SIJIL SAHUR NET akan di berikan kepada peserta yang CHECK IN SEPENUHNYA sepanjang bulan Ramadhan dan kepada Net Controller Paling Rajin. Sesiapa yang ingin menawarkan hadiah / hamper / duit raya, sila hubungi 9W2HOZ. SAHUR !!! SAHUR !!! SAHUR !!!