• Kontraktor demo tuntut hakUzir memberi penjelasan kepada kira-kira 50 ahli Perkon yang mengadakan bantahan di hadapan pejabat SWM, semalam.
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Pembersihan dan Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Johor (Perkon) menggesa SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) mematuhi persetujuan kedua-dua pihak berhubung 12 isu berbangkit.

Yang Dipertua Perkon, Noordin A Latif berkata, SWM seharusnya mematuhi perjanjian kerana sebelum ini persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak melalui lebih 20 mesyuarat sudah tertangguh sejak hampir 16 tahun lalu.

“Perkara ini perlu ditamatkan segera dan tidak harus dipanjangkan lagi cerita yang timbul sejak tahun 1997.

"Kami harap apa yang telah dipersetujui oleh pihak SWM sebelum ini dilaksanakan agar semua pihak mendapat keadilan dan tidak timbul masalah berbangkit.

“Kami juga berharap penyelesaian ini dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak kerana selama ini kita memberi kerjasama penuh kepada SWM,” katanya selepas mengadakan himpunan aman bersama 50 ahli Perkon di hadapan pejabat SWM, di sini, semalam.

Noordin berkata, 12 isu berbangkit yang dimaksudkan termasuklah bayaran bulan, data inventori, pelarasan kadar harga baru, pindaan Klausa 45 dalam Dokumen Perjanjian Kontrak dan penyelarasan tempoh kontrak.

Katanya, Perkon akan turut menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar mendapat perhatian wajar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SWM, Dr Uzir Abdul Malik yang ditemui ketika bantahan berkenaan memberitahu isu yang dibangkitkan akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa jalan penyelesaian yang diambil dapat memuaskan kedua-dua pihak.

“Kesemua isu yang dibangkitkan sudah dibincangkan secara terperinci dan kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.

“SWM sememangnya peka dan mengambil berat berhubung masalah yang dihadapi kerana mereka adalah kontraktor yang dilantik SWM dan kami perlu beri perhatian,” katanya


HARIAN METRO