Monday, September 17, 2012

SURAH AN NISA : AYAT 58: TANGGUNGJAWAB MENUNAIKAN AMANAH


SURAH AN NISA : AYAT 58; TANGGUNJAWAB MENUNAIKAN AMANAH

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu
menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhan-Nya) itu memberi
pengajaran  yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

HURAIAN
Setiap orang memikul tanggungjawab untuk menunaikan amanah. Sebagai
hamba Allah S.W.T, kita  mesti menyempurnakan segala hak Allah S.W.T.
Sebagai manusia yang sentiasa berinteraksi dengan manusia lain, kita juga
perlu menunaikan amanah yang berkaitan dengan hak-hak manusia.
Sehubungan itu, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kita
mempunyai pelbagai bentuk. Maka kita  juga bebas menyempurnakan
amanah-amanah tersebut dengan pelbagai cara. Bagi ibu bapa, anak-anak
merupakan amanah Allah S.W.T yang mesti dipelihara dan dididik dengan
akhlak yang mulia. Begitu juga sebaliknya. Anak-anak mesti berbakti
kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia.
Setiap orang bertanggungjawab dan akan dinilai sejauh mana ia menunaikan
tanggungjawabnya dengan penuh amanah. Bahkan Islam menganggap orang
yang tidak beramanah sebagai orang yang tidak sempurna imannya.
Sejarah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mudah
menyebarkan risalah Islam kerana baginda dari awal lagi dikenali sebagai
seorang yang  sangat beramanah atau “al-Amin”.  Sifat mulia ini Nabi
buktikan sehingga ke akhir hayat. Semasa baginda merayakan kejayaan
membuka semula Kota  Mekah,  baginda mengambil kunci Kaabah dari
penyimpan kunci Kaabah, Othman bin Talhah dan seterusnya membersihkan
Kaabah dari segala imej kekufuran. Setelah selesai, baginda menyerah kembali kuncinya walaupun Islam berada di pihak yang menang. Apa yang
penting matlamat asal untuk membersihkan akidah telah tercapai.
KESIMPULAN
Jelas terbukti bahawa akidah yang suci mampu membina sifat amanah yang
mulia. Orang yang amanah dikasihi Allah S.W.T dan digemari oleh
manusia.
Sumber : Koleksi Artikel Tafsir JAKIM

No comments:

Post a Comment