Thursday, January 23, 2014

Menjaga kata-kata adalah keimanan



MANUSIA menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Setiap bangsa dan keturunan mempunyai bahasa masing-masing. Justeru, bahasa menjadi lambang kepada sesuatu bangsa.

Bahasa Melayu dianggap unik dan halus. Sikap sopan santun dan adab berbahasa dipentingkan dalam bahasa Melayu yang menjadi lambang kepada bangsa Melayu.

Pengaruh seni bahasa Melayu banyak diresapi pengaruh Islam yang mementingkan penggunaan bahasa yang baik.

Sesuai dengan nilai Islam, bahasa Melayu dijalin dengan perkataan Arab yang terkandung makna tauhid, ketakwaan, hukum dan ketulusan hati.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan terang-terang.”

Firman-Nya lagi bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku ‘aku seorang Muslim.”

Kehalusan dan ketelitian bahasa Melayu terserlah dengan terbentuknya beberapa kategori bahasa seperti bahasa istana, basahan, dalam dan pasar.

Setiap bentuk bahasa itu diucapkan di tempat atau masa tertentu yang menjelaskan betapa adab pertuturan amat dipentingkan.

Raja atau mereka yang berada di istana akan menggunakan bahasa istana. Rakyat biasa pula menggunakan bahasa basahan dalam kehidupan seharian. Manakala alim-ulama pula lebih banyak menyelitkan perkataan Arab yang menyeru kepada keimanan, ketakwaan, dosa, pahala dan hukum agama.

Jelasnya, dalam bahasa Melayu tidak ada bahasa najis, mencarut, kebodohan, haprak dan kasar. Berkata-kata biarpun mudah, kesannya kepada kehidupan manusia amat ketara. Kata-kata yang diucapkan dicatatkan sehingga ke hari kiamat.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Sesungguhnya seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredai Allah, dan dia tidak menyangka bahawa kata-katanya itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat tertentu, maka dicatatkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredaan-Nya hingga ke hari kiamat.

“Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai Allah, dan dia tidak menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke satu tingkat tertentu, maka dicatatkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaan-Nya ke atas orang itu hingga ke hari kiamat.” – (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi).

Sesungguhnya tutur kata baik diumpamakan mutiara yang disukai oleh orang ramai. Kata-kata yang baik meletakkan penutur sebagai orang disenang, disanjung, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk kebaikan.

Manakala perkataan tidak baik dikeluarkan dari mulut tidak ubah nilainya seperti najis. Tentunya orang waras tidak akan menyukai najis. Najis dikaitkan dengan segala tidak baik dan hina. Jadi, begitulah pandangan kepada mereka yang menuturkan sesuatu perkataan tidak baik.

Justeru, kita dapat membuat pilihan sendiri sama ada ingin mengeluarkan kata-kata bak mutiara atau sebusuk najis. Begitu juga, pendengar dapat menilai sendiri mana penutur yang baik dan sebaliknya.

Masyarakat Melayu mudah tersentuh perasaan apabila isu bahasa kasar dan mencarut dibangkitkan. Belum ada mana-mana pakar bahasa, sasterawan, pemimpin dan ulama yang membenarkan kata-kata kasar dan mencarut digunakan pada bila-bila masa sekalipun.

Bagaimanapun, ahli politik tanpa mengira statusnya (pakar bahasa, sasterawan dan ulama) mengatakan kata-kata kasar dan mencarut dibenarkan. Dengan kata lain, orang itu bercakap di atas dasar kepentingan politik murahan dengan menggadaikan maruah agama, bangsa dan bahasa, bukannya atas statusnya.

Sesungguhnya adalah tidak tepat dikatakan pakar bahasa, sasterawan, pemimpin dan ulama membenarkan kata-kata kasar serta mencarut digunakan. Mereka sekali-kali tidak akan melacurkan agama, bangsa dan bahasa. Sebaliknya, mereka adalah contoh ikutan dan memperjuangkan kebaikan.

Kata kasar dan mencarut biasa digunakan oleh mereka yang kecewa dalam perjuangan atau gagal mendapat apa yang diharapkan dan ketika pergaduhan. Dalam keadaan itu syaitan mudah menguasai diri dan bersama-sama berjuang agar perbuatan itu diteruskan.

Syaitan menutup kebenaran dengan menghilangkan rasa malu pengucapnya. Bahkan, syaitan akan membisikkan keyakinan agar terus mempertahankan apa yang diucapkan.

Syaitan akan mencari lebih ramai mereka yang sanggup menjadi rakannya untuk mengeya dan mempertahankan keharusan menggunakan perkataan buruk.

Mempertahankan perbuatan salah samalah berteduh di bawah pohon mati, air hujan tetap membasahkan diri dan lebih bahaya lagi dahan reput akan menimpa badannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan kata-kata yang mentertawakan kawan yang duduk bersamanya, maka dia akan jatuh dengan kata-kata itu lebih jauh daripada bintang di angkasa.” – (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya).

Dalam masyarakat Melayu yang tinggi pegangan agama, mempunyai cara yang halus untuk memperkatakan perkara buruk. Nenek moyang kita mengajar menggunakan bahasa kias dan sindiran untuk menegur keburukan orang lain.

Ini jelas pekerti orang Melayu sangat luhur seperti ditetapkan ajaran agama. Rasulullah saw menyatakan antara tanda keimanan kepada Allah ialah menjaga tutur kata.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau dia diam.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat Melayu, pantang sekali diucapkan perkataan yang tidak baik. Mereka menyebut perkataan kasar dan mencarut pasti dicili mulutnya.

Sebab itu apabila ingin bercakap elok berhati-hati agar tidak terlajak kata sehingga sukar untuk ditarik balik. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Untuk mengelak diri terperangkap dengan fitnah mulut, dalam banyak keadaan adalah lebih baik berdiam diri. Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Sesiapa suka selamat, maka hendaklah dia membiasakan diam.” – (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Bahkan jangan sekali-kali bersama-sama orang yang sering mengucapkan perkataan buruk kerana ditakuti ia akan berjangkit. Ingatan itu dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan kami dulu (di dunia) selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya.” – (Surah al-Muddasir, ayat 45)

Malah, dijelaskan larangan daripada berada bersama orang yang sering memperkatakan perkara yang tidak benar kerana ditakuti turut membabitkan diri dengan keburukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) dalam kitab (al-Quran) iaitu, apabila kamu mendengar ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan perkara lain, kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir dalam neraka jahanam.” – (Surah an-Nisa, ayat 140).

Hakikatnya, kita selama-lamanya perlu mementingkan penggunaan bahasa sopan. Bahasa sopan memimpin penuturnya mengenali diri sendiri dan orang mendengarnya. Siapa yang mengenali dirinya, tentu tidak akan mencemarkan nama baiknya dengan kata-kata yang buruk.

Sesiapa mengucapkan kata-kata buruk bermakna mencampakkan dirinya ke dalam keburukan seperti perkataan yang diucapkan itu.

Justeru, siapa ingin dipandang tinggi dan mulia tidak wajar menggunakan bahasa mencarut dan kasar. Ibu bapa sering mengingatkan agar anak tidak menggunakan perkataan buruk yang dikaitkan dengan orang gila, nyanyuk, sasau dan dirasuk syaitan.

Penggunaan perkataan buruk wajar dijauhkan sama sekali, terutama oleh pemimpin. Ini bagi mengelak salah faham. Sesungguhnya kata-kata pemimpin umpama azimat. Sekiranya digunakan perkataan buruk, maka ditakuti ia dianggap azimat dan ikutan orang ramai.

Memang benar pemimpin perlu lebih baik daripada orang yang dipimpin. Pemimpin yang buruk pekertinya tidak layak menjadi pemimpin. Jika dia terus memimpin, pasti seluruh orang dipimpinnya akan mengikuti pekertinya itu.

Kita tidak mahu nilai bahasa kita rosak. Anak diajar bersopan santun dalam bertutur. Ibu bapa akan malu jika anak menggunakan perkataan biadap dan menghina.

No comments:

Post a Comment