Amaran Perdasama kepada ahli
- Perdasama Johor mengakui wujud gejala segelintir kontraktor jual nama sultan untuk mendapatkan kontrak atau projek.
Tindakan tegas tersebut diambil bagi mengingatkan ahli-ahlinya supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan tersebut yang nyata hanya bersifat peribadi untuk kepentingan perniagaan atau mendapat kontrak projek perniagaan atau melobi tender semata-mata.
Timbalan Perdasama negeri, Abd Lah@Abdullah Awang berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya ahlinya tidak terlibat dengan situasi yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, tindakan tersebut juga dilihat sebagai budaya yang tidak sihat sekali gus bukan sekadar memburukkan nama baik sendiri malah reputasi syarikat masing-masing yang semata-mata mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Persatuan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan ahli-ahlinya tidak terlibat dalam perkara ini. Kami juga akan mengambil tindakan tegas dengan melucutkan keahlian mereka yang didapati terlibat dalam perkara ini.
“Ini kerana kita sememangnya mengambil serius dan tindakan tegas itu diambil sebagai memberi peringatan agar kalangan ahli tidak terlibat dengan budaya tidak adil ini.
“Ia bukan sahaja akan memburukkan nama baik pemilik syarikat yang terlibat bahkan reputasi syarikat mereka sendiri untuk melobi tender untuk projek akan datang kerana pastinya dicemari atas insiden tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Abd Lah yang juga Setiausaha Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Pembersihan dan Pengurusan Sisa Pepejal Negeri (Perkon) negeri dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri sendiri mengakui budaya tidak sihat seperti ini sememangnya wujud dalam industri kontrak.
“Saya akui perkara seperti ini sememangnya wujud. Tetapi budaya tidak sihat ini bergantung kepada setiap agensi untuk menanganinya. Jadi, mereka seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang suka mengambil kesempatan ini.
“Misalnya pastikan sekiranya mereka mengaku sebagai kerabat diraja atau menjual nama sultan dan sebagainya hendaklah mempunyai surat rasmi daripada istana. Tetapi setahu saya istana tidak ada mengeluarkan surat sokongan dan mereka mungkin dengan berani menggunakan nama sultan.
“Memang tiada aduan secara rasmi yang kami terima tentang perkara ini. Buat masa ini juga ia tidak pernah lagi berlaku dalam kalangan ahli Perdasama sendiri. Perda,sama ada mengingatkan supaya ahli menjauhi perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, persaingan yang tidak sihat ini juga mengekang pihak yang berkelayakan untuk mendapat tender untuk melaksanakan sekaligus menjayakan sesuatu projek yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Malah, agensi yang terlibat saya galakkan supaya memberi kerjasama sekiranya berhadapan dengan penipuan seperti ini. Mereka hendaklah melaporkan perkara ini kepada pihak polis supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment