Thursday, October 17, 2013

DILEMA" MELAYU POPULAR " - DR MOHD REDZUAN TEE ABDULLAH

Dilema ‘Melayu popular’

(Sinar Harian 14 Okt 2013)
Saya harap rakan saya berbangsa Melayu tidak salah faham membaca artikel ini. Saya tidak memandang rendah kepada orang Melayu. Pada saya, semua bangsa dijadikan Allah SWT mempunyai kekuatannya tersendiri. Tidak ada istilah Melayu malas, bangsa lain rajin dan sebagainya, sebagaimana yang dipersepsikan. Semua bergantung kepada diri sendiri seperti kata-kata Pendita Za’ba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh diubah. Terpulang kepada kita, nak pilih yang mana!
Kebelakangan ini, terlalu banyak sangat ‘kelemahan’ Melayu sama ada yang saya lihat sendiri atau didedahkan. Saya yakin Melayu tahu dan memahaminya. Tetapi Melayu sengaja membiarkannya. Dalam apa jua bidang, Melayu bermasalah. Dalam politik, mereka saling tikam-menikam walaupun sesama parti. Saling fitnah-menfitnah, jatuh-menjatuh dan sebagainya. Dalam ekonomi, saling dengki-mendengki melihat orang lain berjaya. Bila tidak puas hati, berlaku santau-menyantau. Mereka tidak faham falsafah korban, walaupun tiap-tiap tahun menyambut hari raya korban.
Pendek kata, dalam apa jua profesion, Melayu bermasalah. Dalam perjawatan awam (juga swasta), politik untuk naik pangkat,. Oouuhhh! dahsyat. Untuk mencapai matlamat itu, maka kerjanya, membodek sepanjang masa untuk naik, walaupun kualiti kerja macam tahi.
Itu belum sebut lagi masalah sosial yang lain seperti gejala sosial remaja, dunia hiburan para artis, dadah, dedah, gejala tak solat, masalah keluarga, perceraian dan lain-lain. Berdasarkan statistik, setiap lima belas minit, akan lahir anak luar nikah dan pasangan Melayu bercerai. Semuanya ini ada kaitan dengan sikap Melayu itu sendiri dan kaitannya dengan mahu menjadi popular.
Mudah sahaja untuk menjadi popular di negara ini. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi atau masuk universiti. Cukup sekadar masuk industri hiburan, tonjolkan kontroversi atau masuk pertandingan menyanyi, melawak, menonjol dalam sukan dan lain-lain berkaitan. Popularlah.
Kenapalah Melayu pantang popular sedikit? Usahkan diri empunya yang mungkin ‘popular’, mereka yang tidak kena-mengena pun terasa popular seperti isteri atau suami artis popular tersebut atau pegawai peribadinya. Maka menyombonglah tidak tentu pasal. Hidung jadi tinggi. Sama juga macam menteri (popular), menteri tidak sombong (ada juga yang sombong), yang lebih-lebih adalah orang disekelilingnya.
Kepopularan ini menjadi dia ‘glamour’. Artis-artispun suka. Maka mengoratlah mereka antara satu sama lain. Sanggup hadiahkan rumah berjuta-juta. Akhirnya, kedua-dua menjadi popular. Persoalannya, kenapa sudah sangat nak cari artis atau orang popular yang warak atau low profile. Kenapa hidup penuh kontroversi. Tidak teringin ke masuk syurga. Takkan nak tunggu tua baru nak bertaubat. Ketika itu, mungkin sudah terlambat. Adakah taubat kita akan diterima? Sebab kita tahu perkara itu tidak baik dan berdosa, kita lakukan berulang-ulang kali. Kita permainkan Allah.
Lebih pelik lagi, mereka inilah yang menjadi rebutan syarikat swasta untuk menjadi duta sana sini. Peribadi duta-duta produk tidak diambil kira, yang penting popular. Produk laku.
Terbaharu, dilema Melayu popular. Saya naik muak dan lemas menonton you tube mengenai gelagat isteri seorang pemain bola sepak terhadap pengawal keselamatan di salah sebuah lapangan terbang. Ini baru bola sepak, belum lagi bola yang lain, misalnya kehidupan para artis yang penuh kontroversi.
Kenapa beliau tergamak mengeluarkan kata-kata ‘bodoh, dayus’ dan sebagainya kepada pengawal keselamatan, sedangkan mangsa itu hanya seorang pengawal keselamatan, menjalankan tugas yang diamanahkan. Melayu pulak tu.
Cuba kita banding dengan jaguh-jaguh negara bukan Melayu seperti pemain badminton nombor satu dunia. Beliau amat popular. Isterinya juga popular. Kedua-dunya berharta dan kaya raya. Kehidupannya tidak pula kontroversi. Bayangkan jika pasangan itu adalah orang Melayu.
Jiran saya yang tiba-tiba popular dengan lawak bodoh, dengar khabarnya mahu menyaman bapanya sendiri jika terus campur tangan dalam urusan hidupnya. Wah! Sombongnya.
Kenapa Melayu jadi sebegini? Apa masalah Melayu sebenarnya? Pada saya, puncanya adalah kejahilan. Melayu jahil dengan ilmu. Miskin akhlak. Sebab itu, bila berlawak, lawak jadi lawak bodoh. Bila berlakon, lakonan seperti dibuat-buat. Bila menyanyi, tidak ke mana-mana. Bila bersukan, sekadar di pinggiran sahaja. Menjadi jaguh kampung.
Ingatlah Melayu popular, di sisi Allah kita bukan apa-apapun jika tidak ada bekalan iman dan takwa.
Sepatutnya kita menggunakan populariti itu untuk mencari keredhaan Allah, Menjadikan kelebihan itu untuk mendidik manusia menjadi manusia, bukan sebaliknya.
Berbeza dengan artis di barat. Mereka amat popular, bertaraf dunia lagi. Tetapi mereka tidak sombong, walaupun tidak Islam.
Allahyarham Michael Jackson amat popular. Beliau tahu di mana had-hadnya. Lagu-lagunya pula berjenis. Kepopularan mereka digunakan untuk membaiki diri dan keluarga. Buat bekalan di hari tua. Sebab itulah, jarang dengar orang barat popular merana di usia tua, sebab mereka ada bekalan. Kita pula berlagak tak tentu pasal dengan red carpet sana sini, tetapi poket kosong. Bila tua, merana.
Sempena hari raya korban yang akan kita sambut bersama-sama bermula malam ini, marilah kita sama-sama melakukan muhasabah diri. Kita hanya makhluk Allah, sepopular manapun kita, kita tetap hamba Allah. Kita akan ditanya nanti, tentang Tuhan kita, agama kita, amalan kita dan sumbangan kita. Sejauhmanakah sebenarnya kita berkorban?

No comments:

Post a Comment