Wednesday, August 28, 2013

TERUSKAN MEMBUAT KEBAIKAN

Tidak dinafikan kadang-kala, setiap kebaikan yang kita buat, kita inginkan penghargaan, dan ucapan terima kasih. Kita bukan dambakan namun pasti ada sekelumit rasa ingin dihargai jauh di sudut hati kita. Kebaikan juga adalah refleksi keprihatinan kita sama ada pada sesuatu, seseorang, atau apa sahaja.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Al-Imran 3: 104)
Dalam bersahabat, ada kalanya kita tidak dihargai walaupun setelah kita ekspresikan keprihatinan yang mendalam terhadapnya kerana sayangnya kita kepada dia. Mungkin kerana kita tidak dilihat berharga, tidak mulia, tidak berilmu, dan mungkin tidak setaraf untuk bersahabat dengannya. Pasti anda pernah sayangkan seorang sahabat yang sangat mendalam kerana terlalu menghargai dia dalam hidup anda apetah lagi, kerana dia jugalah anda mula mengenal Allah tetapi dia tidak dapat merasai dan menghargai kebaikan anda padanya kerana dia hanya menganggap anda sahabat biasa. Tiada istilah sahabat istimewa padanya terhadap anda.
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik, melainkan balasan yang baik juga? (Surah Ar-Rahman 55: 60)
Tabahkanlah dirimu wahai sahabatku kerana ketika itu, dirimu sedang belajar erti keikhlasan dalam bersahabat. Ketika usaha dan kerjamu dalam satu organisasi tidak dinilai, dirimu sedang belajar erti ketulusan. Jangan pernah rasa gusar, jangan pernah rasa resah sebaliknya teruskan membuat kebaikan.
Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah 2: 148)
Sentiasalah beringat, biarpun manusia tidak menghargai kebaikanmu tetapi Yang Maha Esa sangat menghargai segala apa yang kau lakukan untuk-Nya. Bandingkanlah segala nikmat yang Dia berikan pada kita, tetapi sebanyak manakah kita mengingati Dia dalam kerja seharian kita? Juga sebanyak manakah kita telah berterima kasih kepada-Nya?
Terima kasih ya Allah, Kau berikan aku makan pada hari ini.
Terima kasih ya Allah, Kau permudah urusan aku pada hari ini.
Terima kasih ya Allah, Kau berikan aku keselesaan untuk tidur.
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Surah Ibrahim 14: 34)
Bagiku, syukur dan berterima kasih itu lain rasanya, lain gelombangnya. Bayangkan orang yang telah dirimu berikan pertolongan berterima kasih kepadamu. Alangkah berharganya ungkapan terima kasih itu kan dirimu dapat rasakan. Pasti kita akan rasa dihargai dan lebih ingin memberi pertolongan kepadanya untuk masa akan datang

No comments:

Post a Comment