Rasulullah S.A.W bersabda :
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Dan setiap orang hanya memperoleh apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia, dia akan mendapatnya, atau kerana wanita, dia akan menikahinya. Maka hijrahnya ke arah tujuan di sebalik hijrahnya itu”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Pengertian Ikhlas
Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian dan lain-lain yang secara jelasnya bukan kerana Allah S.W.T. Mereka yang ikhlas akan melakukan segala kerja dalam kehidupan seharian mereka semata-mata untuk taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).
Alhamdulillah, sedar tak sedar, kita dah memasuki fasa kedua Ramadhan iaitu fasa ‘keampunan’. Namun, yakin kah diri kita bahawa puasa kita pada hari-hari yang lepas adalah kerana Allah semata-mata? Sebenarnya, terdetik diri ini untuk mencoretkan perihal keikhlasan berpuasa setelah mendengar ‘tazkirah’ daripada imam terawih tadi. Tersentak sebenarnya. Imam tadi berjaya membawa para jemaah untuk kembali berfikir adakah puasa kita betul-betul diniatkan hanya kerana Allah.
Berkemungkinan ramai di antara kita yang berpuasa hanya kerana adat. Puasa hanya kerana secara adatnya, Ramadhan adalah bulan yang mewajibkan seluruh umat Islam yang mampu untuk berpuasa. Jadi, apabila tibanya Ramadhan, automatik diri akan berusaha menahan lapar dan dahaga dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tanpa disedari, niat berpuasa itu telah terpesong kerana puasa itu hanyalah kerana adat kebiasaannya.
Mungkin juga ada di antara umat Islam yang berpuasa untuk menjaga maruah dan martabat diri. Mereka berpuasa hanya untuk mengelak diri daripada dihina masyarakat sekeliling. Yalah, kalau tak puasa mesti di’cop’ diri tidak sempurna. Nak jadi calon menantu pun tak lepas. Jadi, baik puasa. Mungkin juga terdetik untuk menunjukkan diri alim dan sebagainya. Na’uzubillah.
Abu Hamid Al-Ghazali dalam Mukaddimah An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq berkata:
“Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, orang-orang yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti binasa kecuali orang-orang berilmu. Orang-orang berilmu pasti akan binasa kecuali orang aktif beramal. Semua yang aktif beramal akan binasa kecuali yang ikhlas”
Jadi, marilah kita sama-sama ikhlaskan diri kita dalam beribadat. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia dan penuh berkat ini. InsyaAllah, setiap keikhlasan kita akan dinilai dan digandakan ganjarannya. Moga ibadah-ibadah yang dilakukan tidak kosong dan sia-sia. Kelak, diri kita sendiri juga yang akan rugi. Tangisi kejahilan diri sementara masih diberi peluang menghirup udara di bumi Allah ini. Moga tiada penyesalan di akhirat nanti. InsyaAllah.
Dari Anas riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim, (ia berkata hadis ini sahih memenuhi syarat al-Bukhari Muslim) Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang meninggalkan dunia ini (wafat) dengan membawa keikhlasan kerana Allah SWT sahaja, ia tidak menyekutukan Allah sedikit pun, ia melaksanakan solat, dan menunaikan zakat, maka ia telah meninggalkan dunia ini dengan membawa redha Allah SWT.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment